News

Lawatan Mantan Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak

Assalamualaikum & salam sejahtera.

20 Mac 2015 - Kunjungan Yang Amat Berbahagia Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Salahuddin bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi (Dr) Hajah Norkiah merupakan kunjungan kedua selepas pertama kali datang dengan lawatan rasmi "karpet merah" pada Mac 2013.

Lawatan ini membawa dimensi baru dan amat bermakna bagi pengurusan TATML lebih-lebih lagi kunjungan ini mempamerkan keperibadian kemesraan dan sikap ramah tamah YABhg Tun dan YABhg Toh Puan yang tiada bandingannnya. Terharu dan rasa penuh hormat warga TATML menyambut YABhg Tun sebagai seorang negarawan. Apatah lagi walaupun sempena LIMA 2015 sedang berlangsung kedatangan YABhg Tun ke Langkawi hanya satu "datang melawat MARDI Langkawi"

Lawatan pertama YABhg Tun ke TATML adalah sempena LIMA 2013 yang merupakan kunjungan dua dalam satu. YABhg Tun pada ketika itu adalah Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak secara rasminya membuat lawatan ke pameran LIMA 2013 yang merupakan pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa yang terbesar dan tersohor di rantau ini. Lawatan rasmi Tun ketika itu adalah bagi memenuhi undangan Mantan Ketua Pengarah MARDI, YBhg Datuk Dr. Abd Shukor Bin Abd Rahman sebagai lawatan balas kepada rombongan Pengurusan Tertinggi MARDI yang membuat kunjungan hormat ke Astana TYT sempena mesyuarat pengurusan yang dibuat di Kuching. Kunjungan kali kedua ini walaupun bukanlah lawatan rasmi. Tetapi keperihatinan YABhg Tun terhadap MARDI amnya dan TATML khususnya begitu tinggi. Bual bicara mereka berdua acap kali adalah menyentuh kejayaan, menyanjungi kerja baik warga MARDI sekaligus melaksanakan dengan amat baik sekali amanah negara. Kegembiraan mereka berdua sepanjang berada disini mempamerkan keikhlasan dan ketelusan hati yang teramat sangat. 

Kehadiran YBhg Dato' Dr. Sharif Bin Haron Ketua Pengarah MARDI bersama isteri dan beberapa barisan pengurusan tertinggi bersama dalam lawatan ini menjadikannya sesuatu yang lebih bermakna demi mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin.

Lawatan ini mengambil masa lebih kurang tiga jam itu juga memfokuskan kepada tanaman anggur. YABhg Tun dan YABhg Toh Puan sebenarnya telah memulakan tanaman anggur yang benihnya diperoleh semasa lawatan pertama beliau ke sini. Khabarnya tanaman beliau itu hidup subur dan berbuah lebat sehingga sangat menggembirakan YABhg Toh Puan.

Jadi dalam lawatan ini YABhg Toh Puan berhajat untuk berkongsi pengalaman manis beliau itu dan mendapatkan beberapa variety baru yang boleh dibawa balik sebagai koleksi anggur di kediaman beliau. Bagi pihak pengurusan TATML mengucapkan terima kasih dan syabas kepada hospitaliti TATML. 

Sekian, terima kasih.

Abdul Kadir Hj Din - MARDI Langkawi


Agro Technology Park MARDI Langkawi
Jalan Padang Gaong, Lubuk Semilang, Kedah Darul Aman 07000 Langkawi Malaysia

Copyright @2012

.